Mar 27, 2011

JANJIKU UNTUK CINTAKAN ILAHI

Abdullah Hakim, 18 tahun, bergegas ke masjid kerana jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Sebentar lagi, azan Isyak akan berkumandang. Dia tidak mahu ketinggalan untuk berjemaah bersama. Dia sentiasa menjaga solatnya agar si Dia mencintai dan menyayanginya.

Dia duduk di baris paling hadapan kerana ingin merebut pahala berganda bersama para jemaah lain. Abdullah Hakim memasang telinganya untuk mendengar khutbah ringkas sebelum memulakan solat berjemaah. Dia meneliti satu persatu isi khutbah itu dan cuba menghadamnya untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.

“Astaghfirullah..” Abdullah Hakim beristighfar beberapa kali sebelum solat dimulakan.

Usai mengerjakan solat, dia duduk di tangga masjid ditemani senaskhah al-quran. Dia membaca dan mentadabbur isi ayat-ayat yang dibaca. Dia termenung seketika saat membaca terjemahan ayat 26 surah al-Nur.

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)….”

Relung hatinya mula bertanya.

Baikkah aku??

Baikkah jodohku??



Tanpa dia sedar, seorang lelaki berjubah putih dan sedikit berjanggut duduk di sisinya. Lelaki itu menghulurkan salam.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam warahmatullah..” Abdullah Hakim menjawab salam tersebut. Dia sedikit terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Rupa-rupanya, itulah bekas ustaznya dahulu, ustaz Imran.

Abdullah Hakim menyalami ustaznya itu. Dia tersenyum lebar kerana berpeluang berjumpa lagi dengan ustaznya itu setelah meninggalkan sekolah. Dia memulakan bicara rindunya.

“Apa khabar ustaz?”

“Alhamdulillah, sihat. Hakim apa khabar?”

“Ustaz ingat nama saya lagi? Saya pun alhamdulillah, sihat.”

“Mestilah ustaz ingat. Kamu kan selalu jumpa ustaz masa dekat sekolah dulu. Buat apa sekarang?”

“Alhamdulillah, saya ambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).”

“Baguslah. Teruskan. Semoga berjaya. Ada dapat tawaran mana-mana tak?”

“Ada. Banyak. Tapi, saya tolak lamarannya. Tak salah kan ustaz?”

“Itu pilihan diri Hakim sendiri. Semoga berjaya dalam bidang agama yang Hakim ambil ni. Banyak menghafaz kan?”

“Insya-Allah ustaz. A’ah. Memang banyak menghafaz pun. 17 buku tu. Kadang-kadang, sangkut juga. Hehe.”

“Hakim boleh, insya-Allah. Kalau niat kita betul kerana Allah, Dia akan tolong kita. Dalam surah Muhammad, ayat 7, Dia ada menerangkan yang bermaksud ; Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

Abdullah Hakim mengangguk dan tersenyum yakin sambil berkata,

“Saya akan buat yang terbaik semampu saya ustaz. Saya pun belajar surah Muhammad tu juga. Banyak ilmu-ilmu agama yang saya tak tahu, saya boleh dapat dengan belajar dalam STAM ni.”

“Alhamdulillah kalau macam tu. Manfaatkan ilmu sebaiknya. Nak pergi Mesir ya?”

“Erm..niat tu dah ada ustaz. Tapi, tak tahulah dapat jejakkan kaki ke sana ke tak. Hanya Allah yang tahu.”

“Insya-Allah. Hakim kena terus berusaha untuk berjaya. Kenapa tak balik rumah lagi ni?”

“Saya balik pukul 10 malam nanti. Saya dah cakap dengan mak saya dah. Nak tenangkan fikiran sikit. Tu yang baca kalamullah ni.” Jawab Abdullah Hakim dengan senyuman manisnya.

“Apa yang buatkan Hakim tak tenang? Bolehlah kita bercerita. Ustaz pun nak balik lambat sikit ni.” Ustaz Imran juga tersenyum.

“Entahlah ustaz. Mungkin, hati saya ni. Dah kotor, banyak sangat dosa. Tu yang tak tenang tu.”

“Alhamdulillah. Hakim cari ketenangan di masjid. Kebanyakan remaja hari ini, bila mereka ada masalah dan rasa tertekan, mereka lupakan Allah. Mereka mencari ketenangan dengan melepak bersama kawan-kawan. Mereka banyak mendengar lagu-lagu yang melalaikan.”

“Betul tu ustaz. Saya cuba untuk tidak terjebak dengan gejala sosial yang sudah semakin kritikal dalam kalangan remaja sekarang ni.”

“Habis tu, apa yang membuatkan Hakim rasa tak tenang? Hakim jatuh cinta ke?” Ustaz Imran cuba mengusik dan meneka rahsia jiwa remaja Abdullah Hakim.

Abdullah Hakim tergelak.

“Mana adalah ustaz. Saya tak ada masa nak fikir benda tu. Saya ingat pesan guru-guru. Tinggalkan perkara-perkara lagha sebab benda tu boleh mengotorkan hati. Ilmu takkan dapat menembusi hati-hati yang kotor. Insya-Allah, saya akan cuba untuk jaga diri saya. Saya nak memelihara agar jodoh saya juga terpelihara.”

“Alhamdulillah, Hakim masih Hakim yang dulu. Betul, ilmu itu nur Allah yang suci lagi bersih dan hanya akan memasuki hati-hati yang bersih sahaja. Jagalah diri Hakim baik-baik ya. Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata cinta kaum Hawa. Jangan disebabkan mereka, kita jadi mangsa ke Neraka. Jangan sesekali juga kita menjadi penyebab kepada mereka terhumban ke Neraka.”

“Insya-Allah ustaz. Seram pula saya dengar perkataan Neraka tu. Moga kita termasuk dalam golongan orang-orang beriman.”

“Insya-Allah, amin. Ustaz nak tanya sikit ni. Hakim ni tak ada peminat ke? Muka sekarang bukan main segak lagi. Pandai bab agama pula tu. Mesti ramai yang suka ni kan?” Ustaz Imran menguji Abdullah Hakim lagi.

“Sejujurnya, memang ada. Tapi, saya cuba untuk tidak layan mereka. Saya akui, memang kadang-kadang, iman saya agak tergugat. Lelaki kelemahannya adalah perempuan. Saya cuba kuatkan iman saya dengan muhasabah diri balik. Saya tahu, bila sekali saya layan, maksudnya, saya balas surat-surat dan mesej-mesej mereka, memang saya takkan berhenti untuk terus berhubung. Memang susah nak berhenti kalau kita dah mulakan. Betul tak ustaz?”

“Betul, ustaz setuju. Sekali kita melangkah ke alam percintaan, sepuluh kali kita mundur dalam pelajaran dan beribu kali Dia kita abaikan. Ingat kata-kata ustaz ni tau. Kita kena tegas dengan pendirian kita. Jangan memberi harapan pada mereka-mereka yang mengharapkan kita. Jangan sesekali kongkong diri kita. Hakim masih muda. Jangan kongkong diri Hakim dengan membuat pilihan hati masa belajar sekarang ni. Kita tak tahu dengan siapa lagi kita akan bertemu lepas ni. Berdoalah setiap hari agar Hakim dipertemukan dengan jodoh yang baik.”

“Ustaz, saya nak tanya. Ustaz dulu nikah dengan isteri ustaz macam mana? Maksud saya, cara ustaz. Ramai remaja sekarang ni, belum ada apa-apa ikatan lagi dah bawa awek ke sana ke mari. Ada juga yang baru bertunang, dah mula nak pegang-pegang. Banyak godaannya ustaz. Macam mana nak mantapkan iman kita ni agar tak terpengaruh?”

Ustaz Imran tersenyum lagi. Dia meminta al-quran. Abdullah Hakim menghulurkan naskhah al-quran tu pada ustaznya.

“Kalau kita hayati betul-betul terjemahan ayat 26 surah al-Nur ni, kita akan tahu betapa adilnya prinsip Allah. Allah menganugerahkan kita pasangan yang baik andai diri kita baik. Namun, ada juga sesetengah orang yang baik mendapat pasangan yang kurang baik. Ini adalah ujian untuk dirinya. Jika dia bersabar, makan ganjaran Allah menantinya. Panjang kalau ustaz nak cerita tentang cinta ustaz. Betul Hakim nak dengar ni?”

“Betul, saya nak dengar ustaz. Masa banyak lagi ni.”

“Baiklah. Sejak dari tingkatan 4, ustaz dah mula berdoa agar Allah menemukan ustaz dengan seorang wanita solehah untuk ustaz jadikannya teman hidup ustaz. Dalam hari-hari yang ustaz lalui, ustaz cuba solehkan diri ustaz dulu. Ustaz pun macam Hakim juga. Ramai yang minat. Ustaz pun risau. Iman kita terkadang berkurang, sebab tu kita kena selalu usaha untuk tambahkan iman kita. Antara usaha yang ustaz lakukan ialah taqarrub ilaAllah. Dekatkan diri dengan Allah banyak caranya. Kita boleh membaca al-quran dan mentadabburnya, rajinkan diri menghadiri majlis-majlis ilmu, tinggalkan perkara-perkara lagha seperti kerap berhubung dengan ajnabi, memandang perkara maksiat dan banyak lagi.

Bila umur ustaz mencecah 24 tahun, masa tu, ustaz dah nak habis belajar. Ustaz ambil Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab. Ustaz memang rapat dengan seorang pensyarah lelaki ni. Ustaz yakin dengan agama yang ada padanya. Ustaz meminta bantuannya untuk carikan ustaz seorang muslimah yang kaya dengan ilmu agama dan dipandang cantik dengan akhlak yang ada padanya. Nabi saw juga menyarankan kita untuk memilih pasangan kita dengan berasaskan kekuatan pegangan agamanya. Alhamdulillah, ada calon. Habis saja belajar, ustaz mengikat janji dengannya. Kami bertunang dengan izin-Nya.

Sepanjang tempoh pertunangan, ustaz dengan dia tak pernah bertemu berdua. Kami hanya bertemu di rumah diiringi keluarga. Keluarganya akan menjemput ustaz sekeluarga untuk makan di rumahnya. Kadang-kadang, keluarga ustaz juga menjemputnya. Untuk berhubung, sekadar keperluan saja. Ustaz dan dia tidak mahu lalai dengan angan-angan cinta palsu. Kami tidak mahu terpedaya dengan tipuan syaitan. Kemudian, umur 25 tahun, ustaz dan dia selamat diijabkabulkan. Alhamdulillah. Cinta selepas nikah lebih manis dan romantik. Percayalah! Tidak ada cinta yang indah dan manis andai mujahadahnya tidak seperit dan sepahit hempedu.” Akhiri ustaz Imran.

“Wah! Seronoknya kisah cinta ustaz. Saya harap, kisah cinta saya pun berakhir dengan reda-Nya. Saya akan cuba praktikkan apa yang ustaz sarankan. Insya-Allah. Sepanjang bertunang, tak ada godaan ke ustaz?”

“Eh, mestilah ada. Tapi, ustaz dengan dia tepis segala godaan dengan mantapkan iman pada-Nya. Kita kena sentiasa ingat, balasan bagi dosa adalah Neraka. Maaflah. Celoteh ustaz panjang sangat. Dah pukul 10 malam ni. Baliklah, nanti mak Hakim risau pula.”

“Saya lagi suka. Terima kasih ya ustaz. Saya balik dulu. Semoga kita berjumpa lagi. Doakan saya ya ustaz.”

“Sama-sama. Semoga Hakim dipermudahkan segala urusan. Belajar bersungguh-sungguh tau. Fokus pada belajar dulu sekarang. Balas jasa mak dan arwah ayah Hakim dulu. Sekarang, Hakim kena janji dengan diri Hakim sendiri untuk jadikan Allah cinta pertama dan terakhir dalam hidup kita. Kalau dah sampai seru, jangan lupa jemput ustaz ya.” Ustaz Imran mengusik Abdullah Hakim lagi.

“Awal lagilah ustaz. Haha. Insya-Allah, saya takkan lupa jemput ustaz. Saya janji. Saya akan cintakan Allah lebih daripada isi dunia yang fana’ ni. Saya balik dulu, assalamualaikum.” Abdullah Hakim menyalami dan memeluk mesra jasad ustaznya itu. Dia berlalu dan pulang ke rumah menaiki motor. Dia bersyukur kerana hari ini, dia mendapat banyak hikmah. Hatinya mula mengukir janji.

Aku berjanji akan belajar bersungguh-sungguh. Aku nak balas jasa ibu bapa aku. Aku janji, aku takkan terlibat dengan masalah gejala sosial. Aku janji, aku akan jaga diri aku baik-baik. Aku akan mujahadah melawan nafsu dan godaan syaitan. Ya Allah, bantulah aku. Iringilah langkahku dengan hidayah dan petunjuk-Mu agar aku tidak sesat. Permudahkanlah urusan hidup dan matiku. Hadiahkanlah aku seorang wanita penghuni Syurga sebagai teman hidup yang akan sentiasa bersamaku dalam menegakkan kalimah tauhid-Mu. Perkenankanlah cita-citaku untuk menggapai cinta dan kasih sayang-Mu. Sesungguhnya, hidup dan matiku hanya untuk-Mu. Aku janji aku akan mencintai-Mu. Aku akan terus memburu mardhotillah sehingga denyut nafasku kembali ke pangkuan-Mu.

from eyna...^_^

No comments: